Saturday, October 15, 2011

1,086 Penjawat Awam Muflis

Berita Harian
2011/03/03
Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran
PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam
diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata
masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi
mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan
terbabit.
“Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju
menjelang 2020 dapat dicapai.
“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi
pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani
pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta
Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam. Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal UndangUndang, Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam
memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak
membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh
mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk
menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik
oleh mahkamah terbabit.
“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak
menguruskan kewangan masing-masing.
“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas
kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan
pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan
perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.
Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima
pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada
perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan
oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka
mendapat pelepasan daripada hukuman itu.
Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang
dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh
mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.
Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan
kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.
“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi
yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan
pantai timur tidak lama lagi, " katanya

No comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites